Hubungan intim
Anda mungkin boleh meneruskan hubungan intim semasa menjalani dialisis. Berbincang mengenai isu yang mungkin anda hadapi adalah langkah pertama untuk mengekalkan hubungan intim semasa menerima rawatan.
Dengan segala maklumat baharu yang anda terima, anda mungkin tertanya bagaimana untuk mengekalkan aspek tertentu dalam kehidupan anda. Sebagai contoh, anda mungkin rasa seks penting bagi kesejahteraan fizikal dan emosi, tetapi beban menyiapkan keperluan rawatan, menguruskan ubat dan tuntutan kerja dan keluarga menyebabkan tiada masa untuk hubungan intim, dan situasi ini memang biasa dialami.
Isu berkaitan harga diri, penampilan diri dan nafsu seks biasa dihadapi orang yang menjalani dialisis. Berkomunikasi dengan pasangan dan pasukan penjagaan kesihatan anda ialah langkah pertama untuk menangani isu-isu ini.
Keintiman semasa menjalani Dialisis Peritoneal (PD)
Jika anda menjalani dialisis peritoneal (PD), anda mungkin rasa tidak selesa mengadakan hubungan seks dengan air dialisis di dalam ruang peritoneum anda. Tanya jururawat PD anda jika anda boleh mengeluarkan air dialisis sebelum mengadakan hubungan seks. Anda juga boleh mengadakan hubungan seks jika menggunakan mesin PD, dengan memastikan kateter tidak tercabut. Selain itu, tanya jururawat PD jika anda boleh menghentikan sambungan kepada mesin untuk mengadakan hubungan intim pada waktu malam.
Membincangkan Soal Keintiman Dengan Pasangan Anda
Perbincangan hati ke hati dengan pasangan anda tentang bagaimana penyakit buah pinggang kronik (CKD) mempengaruhi nafsu seks anda dan berkongsi perasaan dan keperluan adalah penting demi mengekalkan hubungan yang intim. Membincangkan masalah fizikal dan emosi yang anda alami mungkin boleh mewujudkan kesefahaman dan memberi peluang untuk menanganinya dengan cara paling selesa bagi anda berdua. Anda mungkin rasa kurang selesa dengan perbincangan seperti ini, tetapi disfungsi seks biasanya boleh dialami penghidap penyakit buah pinggang kronik (CKD). Perbincangan boleh membantu mengurangkan tekanan dalam aspek hubungan anda dengan orang tersayang.
Nafsu Seks Yang Berkurangan
Terdapat beberapa sebab nafsu seks anda mungkin tidak menentu sepanjang rawatan. Anda mungkin mengalami kesakitan, kelesuan dan ketidakseimbangan hormon yang mengurangkan keinginan seks. Anda juga mungkin khuatir tentang penampilan diri atau prestasi seks anda, menyebabkan anda tidak mahu rapat secara fizikal dengan pasangan anda. Anda hendaklah membincangkan perasaan ini dengan pasangan anda. Jika anda tidak selesa mengadakan hubungan seks anda boleh mempertimbangkan alternatif yang boleh memastikan hubungan dengan pasangan anda tidak terjejas.
Jika anda dan pasangan anda memutuskan tidak mengadakan hubungan seks, mungkin anda boleh membincangkan perkara ini dengan pakar klinikal anda untuk menentukan punca sebenar kehilangan nafsu.
Apakah langkah seterusnya?
Mengamalkan Diet Mesra Buah Pinggang
Diet mesra buah pinggang boleh memainkan peranan untuk memastikan anda rasa lebih sihat dan melakukan yang terbaik sepanjang perjalanan rawatan. Ketahui lebih lanjut tentang diet dan dialisis anda.
Senaman dan Dialisis
Menjaga kesihatan fizikal boleh membantu anda memanfaatkan sepenuhnya rawatan anda. Ketahui cara-cara anda boleh kekal aktif semasa menjalani dialisis.
Mengembara dengan Dialisis
Anda masih boleh mengembara walaupun anda perlu menjalani rawatan dialisis. Ketahui lebih lanjut tentang cara mengembara dengan penyakit buah pinggang kronik. (CKD).